Followers

Showing posts with label pengangkutan. Show all posts
Showing posts with label pengangkutan. Show all posts

Tuesday, May 23, 2017

Masalah Pengangkutan Awam

Antara masalah-masalah yang sering dialami oleh pengguna pengangkutan awam ialah :

1. Tambang Mahal ~ Sesetengah pengangkutan awam seperti teksi dan LRT mengenakan bayaran yang agak tinggi yang tidak mampu dibayar oleh penumpang. Oleh itu, perkhidmatan teksi dan LRT hanya menjadi pilihan ketika keadaan terdesak seperti hendak ke pejabat dan mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Tambang bulanan bas/van sekolah juga agak mahal. Contohnya untuk seorang anak, ibubapa terpaksa memperuntukan sebanyak sekurang-kurangnya RM100 sebulan. Bayangkan jika terdapat 3 atau 4 orang anak yang bersekolah, sudah tentu peruntukan untuk bayaran tambang bas/van sekolah mencecah RM500!

2. Kemalangan ~ Pada musim perayaan, kita sering digegarkan dengan kes-kes kemalangan yang menyayat hati yang melibatkan perkhidmatan bas ekspres. Kemalangan ini dapat dielakkan jika pemandu bas menjalankan tugasnya dengan berhemah dan bertanggungjawab.  

Kemalangan yang melibatkan pelajar sekolah juga sering terpapar di dada akhbar. Kemalangan ini berlaku kerana bas sekolah yang dinaiki terlalu penuh sehingga menyebabkan terdapat penumpangnya terpaksa berdiri di tangga bas. Situasi seperti ini amat bahaya dan berisiko kepada berlakunya kemalangan.

3. Keselamatan penumpang terancam ~ Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pemandu bas dan teksi telah membawa padah kepada penumpang! Penumpang merasa tidak selamat untuk menggunakan perkhidmatan bas ekspres atau teksi. Sikap seperti ini juga boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Sikap tamak pemilik bas/van sekolah yang hanya mementingkan keuntungan, telah sanggaup bertindak mengancam keselamatan penumpangnya yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah. Bas/van sekolah yang dinaiki oleh pelajar-pelajar ini biasanya melebihi muatan.

4. Kesesakan lalu lintas ~ Pada waktu puncak iaitu di awal pagi (7.00 hingga 8.00 pagi) dan waktu petang (4.00 hingga 6.00 petang) perkhidmatan LRT, KTMB dan Rapid K.L gagal beroperasi dengan baik.   Biasanya kesesakan lalu lintas berlanjutan selama 2 hingga 3 jam ketika waktu puncak di Kuala Lumpur.

5. Jangka masa lama ~ Sebelum dilancarkan Rapid Kuantan, pengguna terpaksa menunggu perkhidmatan bas henti-henti hampir sejam. Ketibaan bas yang tidak tentu juga menyukarkan penumpang yang menggunakan khidmat bas ini. 

6. Kos Bahan Api Meningkat ~ Harga petroleum yang semakin meningkat menyebabkan tambang pengangkutan awam seperti teksi, bas ekspres, bas sekolah dan van meningkat. Anggaran perbelanjaan bulanan untuk tambang bas/van sekolah ialah antara RM80 hingga RM150 bagi seorang penumpang.

7. Kenderaan lama ~ Perkhidmatan bas samada bas ekspres atau bas/ van sekolah adalah kenderaan lama yang telah berdaftar 10 hingga 15 tahun. Tempat duduk dan kondisi bas juga tidak selesa. Biasanya kenderaan lama tidak dilengkapi dengan penyaman udara. Keadaan ini menyebabkan penumpang merasa rimas dengan cuaca panas.

8. Pencemaran udara ~  Pengangkutan awam seperti bas, feri, van dan teksi menggunakan minyak diesel yang boleh mencemarkan udara. Udara dicemari dengan gas karbon monosida dan asap hitam yang berjelaga yang mencemarkan udara.

9. Pencemaran bunyi ~ Kondisi bas/van yang telah tua/lama boleh menimbulkan suasana yang membingitkan telinga dengan bunyi enjin kenderaan yang bising atau kuat! Situasi ini boleh mengganggu ketenangan penumpangnya.

Bagi penduduk yang tinggal berhampiran dengan lapangan terbang, sering terganggu dengan bunyi bising enjin  kapal terbang yang sedang mendarat atau kapal terbang yang sedang berlepas.

10. Pencemaran air ~ Sikap sesetengah pemilik bot penambang yang membuang sisa minyak ke dalam sungai telah menyebabkan air sungai tercemar. Ini boleh menjadi ancaman kepada hidupan akuatik. 


link-link :
~saharudin abdullah - masalah pengangkutan awam
~minda bahasa - isu pengangkutan awam

Cadangan mengurangkan masalah pengangkutan awam

Antara cadangan yang boleh diambil untuk mengurangkan masalah pengangkutan awam ialah

1. Kuat kuasa undang-undang ~ Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemandu bas yang melakukan kesalahan yang berulang-ulang. Denda atau penjara boleh dikenakan terhadap pemandu tersebut.
Pihak JPJ boleh mengenakan denda atau mengeluarkan saman kepada bas/van sekolah yang mengeluarkan asap hitam yang mencemarkan udara.

Terkini, di beberapa persimpangan lampu isyarat dipasang CCTV atau/dan kamera AES. Semua ini bertujuan memantau pengguna-pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya terutamanya bagi mengelakkan pemandu melanggari lampu isyarat merah! 

2. Penggunaan petrol tanpa plumbum ~ Penggunaan petrol tanpa plumbum dapat mengurangkan kandungan plumbum dalam pelepasan asap kenderaan. Langkah ini dapat mengurangkan masalah pencemaran udara terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang

3. Penapis asap /Catalytic converter ~ Bagi mengurangkan pembebasan asap hitam oleh pengangkutan awam seperti bas dan teksi yang menggunakan minyak diesel, penggunaan penapis asap amat dialu-alukan. Dengan ini, asap yang dibebaskan telah ditapis dan merupakan asap yang tidak mencemarkan udara.

4. Mengurangkan kos operasi (contoh; subsidi diesel dan alat ganti) ~ Bagi mengatasi masalah tambang yang tinggi, pihak kerajaan boleh memberi subsidi diesel. Dengan ini, diharap tambang pengangkutan awam (contohnya bas dan teksi) dapat dikurangkan.

5. Penggunaan bahan api alternatif (contoh; NGV, elektrik, tenaga suria)  ~ Dalam usaha mengurangkan pencemaran udara akibat pelepasan asap hitam dari kenderaan bermotor (bas, lori, teksi dan sebagainya), penggunaan bahan api alternatif yang mesra alam amat digalakkan. Contohnya, menggunakan diesel kelapa sawit, kereta  hibrid (menggunakan bateri) dan tenaga suria.  

6. Kursus pemanduan berhemah ~ Kemalangan di jalan raya dapat dielakkan jika pemandunya memandu dengan penuh tanggungjawab dan berhati-hati. Oleh itu, pihak syarikat bas ekspres atau pihak kerajaan boleh mewajibkan pemandu bas/van/teksi mengikuti kursus pemanduan berhemah dengan tujuan memberi kesedaran tentang tanggungjawab mereka terhadap keselamatan penumpang dan mematuhi peraturan jalan raya.

7. Kempen Alam Sekitar ~ Bagi melindungi alam sekitar dan mengurangkan pencemaran udara,  kempen berbasikal boleh dilancarkan. Contohnya, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menganjurkan Kempen Berbasikal Kali Ke 12 sempena Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun 2012. ( Link : Sinar Harian ).

8. Kempen Berkongsi Kereta ~ Bagi mengatasi kesesakan lalu lintas, terutama pada waktu puncak, kerajaan boleh menggalakkan kempen berkongsi kereta sebagaimana yang dijalankan di negara Singapura. 

Sunday, July 28, 2013

Kelebihan atau kebaikan penggunaan pengangkutan LRT di bandar besar

Antara kelebihan atau kebaikan penggunaan pengangkutan LRT di bandar besar ialah :

1. Jimat masa / cepat.

Pengangkutan LRT dapat menjimatkan masa kerana kelajuannya berbanding pengangkutan awam lain. Contohnya, Bullet Train di Tokyo, Jepun bergerak selaju 200 km/jam.

2. Cekap / tepat masa.

Sistem pengangkutan LRT juga berjadual. Sudah tentu sistem pengangkutan LRT ini lebih cekap berbanding pengangkutan awam lain yang tiada jadual tetap. Oleh sebab itu, perkhidmatan LRT ini lebih efisien/cekap dan menjadi pilihan orang ramai di bandar-bandar besar. Mereka tidak perlu membazirkan masa menunggu LRT, tidak seperti pengangkutan bas yang tidak tentu masa ketibaannya!

3. Selesa.

Berbanding dengan pengangkutan awam lain, pengangkutan LRT lebih selesa kerana berhawa dingin dan kerusi penumpangnya juga berkhusyen. Laluan untuk penumpang berdiri juga lebih luas dan disediakan tempat pemegang yang selesa. 

4. Kurang pencemaran udara / Guna elektrik.

Pengangkutan LRT juga merupakan pengangkutan yang mesra alam. Pengangkutan LRT ini digerakkan dengan tenaga elektrik. Oleh itu, tiada pencemaran udara. Berbanding dengan pengangkutan awam lain seperti bas berlaku pencemaran udara kerana asap hitam yang dibebaskan oleh ekzosnya.

5. Ramai penumpang.

Pengangkutan LRT juga boleh membawa penumpang yang ramai pada sesuatu masa.   Gerabak penumpangnya lebih besar berbanding sebuah bas! Sudah tentu pengangkutan LRT boleh membawa ramai penumpang dalam satu-satu trip perjalanannya.

6. Jimat guna tanah.

Nilai tanah di bandar besar amatlah tinggi. Namun pembinaan landasan LRT di ruang atas (landasan atas) dapat menjimatkan penggunaan tanah di Kuala Lumpur. Manakala di Tokyo, Jepun, landasan LRTnya di bina di bawah tanah menggunakan terowong kerana negara Jepun ini kekurangan tanah pamah dan bentuk muka buminya juga bergunung ganang dan berpulau.

7. Kurang kesesakan jalan raya / lalu lintas.

Salah satu tujuan pembinaan pengangkutan LRT di bandar besar ialah untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. Kesesakan lalu lintas di jalan raya dapat diatasi terutama pada waktu puncak iaitu pada jam 8 pagi dan 5 petang. Kebanyakan pekerja menggunakan perkhidmatan LRT untuk pergi dan pulang dari tempat kerja.

8. Tarikan pelancong.

Oleh kerana perkhidmatan LRT ini hanya terdapat di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Tokyo di Jepun, ramai pelancong ingin mencuba perkhidmatan ini. Perkhidmatan ini telah menjadi tarikan pelancong sama ada pelancong dalam negara atau pun pelancong luar negara.

9. Mobiliti buruh.

Majoriti pengguna LRT merupakan golongan pekerja. Secara tidak langsung perkhidmatan LRT ini telah meningkatkan mobiliti buruh dari seluruh pelusuk bandar besar untuk menggunakannya.

Friday, March 15, 2013

Kepentingan Pengangkutan Awam

Perkhidmatan pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Antaranya ialah :

~Mengangkut barangan   - Perkhidmatan bas ekspress juga mengangkut barang seperti bungkusan akhbar/majalah dan barang-barang lain atas permintaan pelanggan untuk dihantar ke destinasi yang diingini.

~Mengurangkan kesesakan - Perkhidmatan kereta api elektrik seperti LRT, Monorel, ERL dan Komuter di Kuala Lumpur telah mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar itu.

~Ketersampaian - Pelancaran Bas Rapid Kuantan pada 1 Disember 2012, yang melibatkan 25 buah bas henti-henti meningkatkan darjah ketersampaian ke  tiga laluan utama Fasa 1. Penerangan lengkap, sila ke link berikut : Jenis Pengangkutan

~Mengangkut penumpang -  Seawal jam 6.00 hingga 6.30 pagi, perkhidmatan bas sekolah (tambang bulanan) dan bas Rapid Kuantan telah mengangkut penumpang yang terdiri dari pelajar sekolah dan pekerja.

~Pelancongan - Perkhidmatan beca di bandaraya Melaka menjadi satu tarikan pelancongan. Beca-beca dihiasi dengan cantik dan memberi perkhidmatan pemandu pelancong kepada pelancong samada pelancong dalam negeri atau luar negara.

~Perdagangan - Perkembangan pengangkutan awam juga telah meningkatkan kegiatan perdagangan di Malaysia. Contohnya perkhidmatan Mas Kargo telah meningkatkan perdagangan dengan negara Arab Saudi ketika musim haji. Ramai jemaah haji menggunakan khidmat Mas Kargo untuk menghantar buah kurma, air zam-zam dan permaidani yang dibeli di Mekah ke Malaysia.
 
~Sumber pendapatan - Perkhidmatan bas/van sekolah (tambang bulanan) yang mengenakan tambang antara RM100 hingga RM150 bagi seorang penumpang (pelajar) menjadi sumber pendapatan utama kepada pemilik bas/van sekolah.

~Peluang pekerjaan - Tidak dinafikan perkembangan pengangkutan awam seperti bas Rapid Kuantan telah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar seperti bekerja sebagai pemandu bas ataupun atendan bas.

~Meningkatkan mobiliti penduduk - Kekerapan bas Rapid Kuantan mengunjungi laluan setiap 20 minit memudahkan penduduk untuk bergerak. Bas yang berhawa dingin juga lebih selesa.

~Menjimatkan masa - Laluan yang berjadual dan setiap 20 minit oleh bas Rapid Kuantan telah menjimatkan masa penduduk. Penduduk tidak perlu membazirkan masa menunggu lama sebagaimana sebelum ini, mereka terpaksa menunggu bas selama 1 jam.

~Menjimatkan kos - Kos juga lebih murah iaitu tambang sebanyak RM2.00 (orang awam) dan RM1.00 (pelajar sekolah/penuntut kolej/institusi pengajian tinggi) untuk semua laluan bas Rapid Kuantan amat berbaloi. Tambang ini akan beroperasi pada bulan April nanti, kini perkhidmatan bas Rapid Kuantan masih percuma semenjak perkhidmatan ini dilancarkan pada 1 Disember sehingga kini.


link-link yang berkaitan :

~kepentingan pengangkutan awam
~mengkaji kepentingan sistem pengangkutan
~Berita Harian Online : Pengangkutan Awam,Selesa Jimat Kos

Monday, February 11, 2013

Jenis Pengangkutan Awam



Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, terdapat satu jenis pengangkutan awam di kawasan kajian saya iaitu perkhidmatan bas.
Terdapat dua jenis perkhidmatan bas iaitu bas ekspres dan bas henti-henti (stage bus).  Bas ekspres beroperasi di Terminal Makmur di Jalan Stadium manakala bas henti-henti beroperasi di Perhentian Bas Pasar, Jalan Stadium (Berhampiran Pasar Besar Kuantan). 


Pada 1 Disember 2012,perkhidmatan bas Rapid Kuantan mula beroperasi di platform 1 dan 2 Terminal Makmur di Jalan Stadium.  Pada fasa pertama ini, perkhidmatan bas Rapid Kuantan melalui 3 laluan iaitu


Laluan 1 dari Kolej Komuniti, Gambang ke Terminal Makmur, sejauh 49.4 km dengan 14 bas disediakan meliputi lokasi antara lainnya, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Lapangan terbang Sultan Hj Ahmad Shah, Taman TAS, Perkampungan Sungai Isap, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), dan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.

Laluan 2 dari Indera Mahkota 2, Bandar Indera Mahkota ke Teluk Chempedak, sejauh 18.4 km dengan tujuh (7) bas disediakan meliputi antara lainnya, Kompleks Penyayang, Taman Cenderawasih, Terminal Makmur, Kolej Antarabangsa IKIP, dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). 

Laluan 3 dari Kompleks Mahkamah Kuantan, Bandar Indera Mahkota ke Politeknik Sultan Hj Ahmad Shah (POLISAS), Semambu, sejauh 21 km dengan lapan (8) bas disediakan meliputi antara lainnya, Universiti Islam Antarabngsa Malaysia (UIAM), Kampus Perubatan di Bandar Indera Mahkota.

Sumber : khabar Pahang



Saturday, February 9, 2013

Konsep Pengangkutan Awam

Pengangkutan awam atau transit awam merangkumi segala sistem pengangkutan yang mana penumpang tidak bergerak menggunakan kenderaan sendiri. Meskipun istilah-istilah tersebut secara amnya dianggap sebagai termasuk perkhidmatan rel/kereta api dan bas, definasi yang lebih luas boleh merangkumi perkhidmatan penerbangan berjadual, feri, teksi, beca dan sebagainya iaitu mana-mana sistem yang mengangkut orang awam.

Pengangkutan awam biasanya menawarkan perkhidmatan berjadual dan dalam laluan tetap tanpa penempahan. Kebanyakan penumpang bergerak dalam lingkungan kawasan tempatan di antara rumah mereka dan tempat kerja, pusat membeli-belah atau institusi pendidikan.


sumber : wikipedia ensiklopedia bebas

Wednesday, February 6, 2013

Tajuk Kerja Kursus Geografi PMR 2013

Pelajar boleh mula membuat kajian tentang tajuk KKG ini. KKG ini bermula dari bulan Februari hingga Jun.
Post Berkaitan Plugin for WordPress, Blogger...